Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bertukar sebagai Pengarah JKDNKA menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah menahan seramai 4,086 individu termasuk pelajar sekolah atas pelbagai kesalahan dadah di negara ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua mereka diberkas menerusi sebanyak 4,564 pemeriksaan yang dijalankan di Felda/Felcra, Projek Perumahan Rakyat, sekatan jalan raya terpilih, port dadah bergerak, jeti haram dan jeti nelayan.

Selain itu, pasar borong dan stesen bas serta taman rekreasi juga diserbu menerusi Op Tapis Khas yang diadakan dari 20 hingga 22 November lalu di seluruh negara.

Operasi berkenaan melibatkan seramai 1,909 pegawai dan anggota daripada JSJN yang menggempur kesemua lokasi-lokasi yang disasarkan dengan objektif mengesan dan menangkap tokan–tokan dadah.

“Kesemua 4,086 individu yang ditangkap itu adalah berusia lingkungan antara 14 hingga 70 tahun termasuk pelajar sekolah dan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut pecahan daripada jumlah itu, seramai 94 orang termasuk seorang warga asing adalah tokan dadah termasuk tiga daripadanya penjawat awam dan dua lagi adalah pelajar sekolah.

“Manakala seramai 193 orang lagi adalah individu sangat dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah) sementara lain-lain kesalahan membabitkan tangkapan seramai 1,871 orang termasuk seorang penjawat awam,” katanya.

Kesemua tangkapan itu dibuat untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 antaranya Seksyen 39b, Seksyen 39a (2), Seksyen 39a(1), Seksyen 39c, Seksyen 12(2), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Menerusi tangkapan itu, pasukan operasi berjaya melakukan rampasan sebanyak 42 kilogram dan 702 liter pelbagai jenis dadah yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM708,925.

Pecahan jenis dadah yang dirampas adalah heroin 3.07 kg; Syabu 9.42 kg, Ketamin 0.023gram, ganja 0.55 gram, pil erimin 5 2.35 kilogram, pil yaba 0.72 gram, ekstasi 1.38 kg, daun ketum 24.90 kg, pil psikotropik 0.0168 gram, air ketum seberat 688.79 liter, kodein 6.90 liter; cecair MDMA 0.19 liter, cecair ketamin 0.60 liter, cecair ganja 5.19 liter.

“JSJN juga telah berjaya menyita pelbagai aset di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM 336,894.00 di antaranya wang tunai berjumlah RM25,019, kenderaan bernilai RM128,400, barang kemas bernilai RM8,975, jam tangan mewah bernilai RM40,400,” ujarnya.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Mohd Kamarudin menegaskan sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga 5 dilaksanakan sejak Januari hingga November tahun ini – seramai 18,972 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

“Rentetan daripada tangkapan itu, sejumlah 2.97 tan dan 18,536 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai RM24,948,819 juta telah berjaya dirampas oleh pasukan operasi JSJN,” katanya.-MalaysiaGazette