Pembukaan terowong kenderaan bawah tanah TRX dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sebanyak 30 peratus. - Gambar: Facebook Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Pembukaan terowong kenderaan bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) sepanjang 5 km pada Rabu depan akan menjawab segala fitnah terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung projek tersebut.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, pihak tertentu dahulu memfitnah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) menjual tanah TRX pada harga yang murah kepada 1MDB.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah berulang-kali menjawab isu ini sejak 2018,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau menambah, pembukaan TRX dengan sistem terowong tidak menambah kepada kesesakan lalu lintas sedia ada yang sudah teruk di sana malah mampu mengurangkan kesesakan keseluruhan sebanyak 30 peratus.

“Rancangan Najib masa itu adalah menyeluruh dan berpandangan jauh ke depan tetapi ia juga membuka jalan untuk mereka menipu dan memfitnah ketika itu,” katanya.

Seperti yang dijelaskan oleh Najib melalui hantaran Facebook pada 28 Mac 2019, kebenarannya adalah kerajaan BN hanya memberikan RM1 juta sebagai modal permulaan kepada 1MDB, di mana 1MDB kemudiannya meminjam jumlah selebihnya.

Menurut beliau, sebab itu tanah bagi TRX tersebut dipindahkan oleh kerajaan kepada 1MDB pada kos lebih murah.

“Pada masa itu, tanah TRX ini yang terletak di bahagian lama bandar raya ini bukanlah tanah kosong tetapi sudah didiami oleh kedai, bangunan, pangsapuri dan juga pasar Imbi.

“Harga jualan itu sendiri tidak menceritakan sepenuhnya di mana sebahagian daripada syarat penjualan itu adalah, TRX perlu membiayai pemindahan dan pampasan kepada penghuni di kawasan itu,” jelasnya.

Najib berkata, 1MDB juga diberitahu bahawa kerajaan tidak akan membiayai pembangunan infrastruktur bagi TRX dan syarikat berkenaan perlu membiayai dan membinanya sendiri.

Beliau menambah, memandangkan ia adalah satu kawasan yang sesak di bandar raya Kuala Lumpur, 1MDB perlu membiayai dan membina infrastruktur bernilai RM3 bilion yang turut mencakupi beberapa terowong bawah tanah bagi menghubungkan TRX dengan lebuh raya berhampiran.

“Biasanya kos infrastruktur dan jalan akan dibiayai oleh kerajaan tetapi bagi kes ini, 1MDB yang membayar dan membina.

“Kesemua ini juga menokok tambah kepada kos sebenar untuk tanah TRX yang dibeli 1MDB selain kos pampasan dan pemindahan penghuni sedia ada di sana,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, pihak terbabit jangan hanya melihat pada harga pemindahan tanah sahaja. – MalaysiaGazette