KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-M) mendesak semua menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk menunjukkan laporan prestasi mereka selepas setahun berkhidmat.
Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan berkata, ketelusan dari Kabinet dillihat sebagai satu keperluan bagi memberi mesej yang jelas kepada orang ramai dan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia berada di landasan yang betul ke arah akauntabiliti dan pembaharuan.
“Langkah itu akan menjadi penanda aras membuktikan Kerajaan Madani benar-benar mengamalkan pembaharuan yang telus dan berakauntabiliti.
“Rakyat berhak mengetahui pencapaian setiap menteri sebagai langkah untuk memberi keyakinan kepada mereka tentang tentang kestabilan dan keupayaan Kabinet yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Muhammad Mohan, TI-M mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan secara terbuka kad laporan pencapaian secara terperinci setiap menteri dalam tempoh setahun yang lalu dengan segera.
Menurutnya, tindakan itu tidak hanya akan menjadi penanda aras membuktikan kerajaan madani benar-benar mengamalkan pembaharuan yang telus dan berakauntabiliti malah turut menjadi asas bagi Perdana Menteri untuk menilai prestasi setiap kementerian dalam menentukan peruntukan serta rombakan kabinet.
Beliau berharap langkah tersebut akan memberi impak positif kepada Indeks Persepsi Rasuah Malaysia dalam jangka masa panjang seperti yang disasarkan oleh Perdana Menteri.
“Menteri tidak perlu bimbang walaupun prestasi mereka kurang daripada sasaran kerana tujuan kad laporan adalah untuk menjelaskan apa yang telah dilakukan dan untuk mewajarkan cabaran dan kerumitan perlaksanaan.
“Rakyat berhak untuk mengetahui setiap tindakan dan usaha-usaha kerajaan membangun negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette