Haedar Nashir

JAKARTA – Hubungan Indonesia-Malaysia bertambah erat sepanjang setahun pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam usaha menyatukan ummah di kedua-dua negara serta rantau ASEAN, kata Muhammadiyah, sebuah pertubuhan Islam tertua di Indonesia.

“Hubungan Malaysia-Indonesia amat penting untuk memacu dan membentuk keseimbangan di rantau ini dan di dunia Islam,” kata pengerusi kepimpinan pusat pertubuhan itu, Prof Haedar Nashir dalam ucapan tahniah kepada Anwar.

Dalam mesej video yang disiarkan Republikatv, Haedar menekankan konsep Malaysia Madani yang dibawa oleh perdana menteri wajar dicontohi kerana ia selari dengan ajaran Islam.

“Malaysia Madani selari dengan visi Muhammadiyah untuk mewujudkan Al-Madinah Al-Munawwarah, sebuah peradaban Islam yang maju dalam era moden abad ke-21,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov 2022.

Beliau menyoroti sokongan dan kerjasama Anwar dengan gerakan dan pertubuhan Islam, termasuk Muhammadiyah bagi mendapatkan pandangan dan memastikan perkembangan berterusan dakwah Islam.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan limpah kurnia-Nya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan amanah,” tambah Haedar.

Ditubuhkan pada 1912 di Yogyakarta, Muhammadiyah merupakan antara pertubuhan Islam yang terbesar dari segi jumlah ahli di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast