Kredit : Reuters

GAZA – “Mereka musnahkan, kami bina semula. Ini kali keempat mereka hancurkan rumah saya tapi saya tetap di sini.”

Itu kata-kata seorang warga emas di Gaza, sambil duduk di atas konkrit sisa runtuhan rumahnya yang dirakam jurugambar bebas warga Gaza, Mariam Riyad Abu Dagga dan dimuat naik ke akaun Instagram @mariam_abu_dagga pada Jumaat.

Sementara itu, Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan ribuan penduduk di utara Gaza yang sebelum ini dipaksa meninggalkan kediaman mereka oleh tentera Zionis Israel nekad kembali ke kampung halaman masing-masing, sempena penguatkuasaan jeda kemanusiaan selama empat hari antara tentera Israel dan Hamas di semua wilayah Semenanjung Gaza.

Walaupun inisiatif yang dicapai selepas 48 hari konflik itu tidak menyebut sebarang persetujuan untuk penduduk Gaza kembali menghuni tanah mereka, penduduk tetap mengambil risiko untuk pulang.

Mereka gigih berjalan kaki sambil menggendong anak dan barangan, menumpang lori, motosikal, mengayuh basikal malah gerabak keldai dan ‘tuk-tuk’, meskipun belum pasti apakah rumah mereka masih ada atau mungkin sudah tinggal rangka atau musnah sama sekali.

“Keadaan memang sukar. Kami hidup dalam ketakutan selama beberapa hari ini. Tapi sekarang kami lega sedikit.

“Saya kini menuju ke tempat tinggal saya untuk meninjau keadaan rumah akibat pengeboman. Alhamdulillah kami masih hidup dan sihat,” kata Husin Aby Elyan, 47, yang sebelum ini berlindung bersama isteri dan seorang anak perempuannya di bangunan sekolah di barat Khan Yunis, selatan Gaza.

Seorang lagi penduduk Gaza Abu Ali Abu Dan berkata: “Saya tahu rumah saya sudah musnah tapi saya tetap pulang selepas lebih 40 hari.”

“Di sana (selatan Gaza) kami sukar untuk meneruskan kehidupan. Tiada makanan, tiada air. Gas dan api juga tiada. Tidur pun atas tanah.

“Sekurang-kurangnya dengan jeda ini kami sedikit gembira. Tapi ke mana saya dan keluarga nak pergi selepas rumah musnah. Kehidupan tetap sukar. Tapi itu tidak menghalang kami untuk kembali. Jika tiada dinding, kami binalah semula. Kadbod, kayu… dengan apa saja,” kata bapa sembilan anak ini

Bagi Musa Al-Bahabsa, 50, dari timur Gaza, beliau memutuskan untuk kekal di selatan kerana bimbang keselamatan keluarganya.

“Saya memang sangat berharap untuk dapat kembali ke rumah, tetapi tidak dapat kerana kereta kebal Israel menembak ke arah orang ramai yang cuba untuk kembali ke utara,” katanya.

Berhubung perkara ini, Agensi Berita Qatar (QNA) turut melaporkan sejumlah tujuh penduduk Gaza cedera ditembak tentera Israel ketika dalam perjalanan kembali ke utara pada Jumaat.

Bapa lapan anak ini menceritakan rumahnya terkena bedilan Israel selepas mereka berpindah ke Khan Yunis. Mereka kini berlindung di sekolah Al-Najjar.

“Dua anak saya kurang upaya dan memerlukan perhatian khusus dari segi pemakanan dan ubatan. Tapi sekarang saya sudah tidak mampu lagi menyediakan keperluan paling asas untuk mereka,” tambahnya.

Sependapat dengannya, Abu Maher turut mengambil keputusan untuk kekal berlindung di selatan Gaza memandangkan keadaan anak bongsu dan ayahnya yang menghidap kanser.

Dianggarkan seramai 1.7 juta penduduk Gaza yang dipaksa pindah ke selatan negeri itu hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah akibat pengeboman berterusan Israel sejak 7 Okt.

Jeda kemanusiaan yang berkuat kuasa pada Jumaat, memberi laluan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan melalui persimpangan Rafah dengan penyelarasan Mesir.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar Dr. Majed bin Mohammed Al Ansari dalam sidang media pada Khamis berkata pertempuran akan dihentikan sepenuhnya semasa jeda kemanusiaan dan berharap kedua-dua pihak mematuhinya.- BERNAMA-WAFA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast