Hospital Melaka (HM) sedang mencari pemilik akaun Facebook (FB) dikenali Nur Azrinda bagi mendapatkan reaksi penularan dakwaannya hospital itu menolak untuk memberi rawatan kepada pesakit berasal dari Johor.

MELAKA – Hospital Melaka (HM) sedang mencari pemilik akaun Facebook (FB) dikenali Nur Azrinda bagi mendapatkan reaksi penularan dakwaannya hospital itu menolak untuk memberi rawatan kepada pesakit berasal dari Johor.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, semua premis kesihatan di Melaka berpegang pada amalan no wrong door policy.

Menurutnya ini bermakna, semua kakitangan perlu sentiasa bersedia untuk menerima mana-mana pesakit termasuklah pesakit warga asing.

“Hospital Melaka merujuk kepada satu paparan pemilik akaun FB Nur Azrinda yang dimuat naik di FB Page Anak Johor serta perkongsian paparan tersebut di aplikasi TikTok Zaid Ahmad¬† Jumaat lalu.

“Dakwaan itu berkenaan keengganan HM menerima pesakit untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan kerana bukan berasal dari Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Datuk Dr Rusdi Abd Rahman

Menurutnya, pihak hospital telah cuba menghubungi pemilik akaun FB tersebut pada pukul 12.26 tengah hari, hari yang sama bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi.

“Namun, kami masih tidak menerima sebarang respons balas dan untuk makluman, HM merupakan satu-satunya hospital rujukan berpakar milik kerajaan di Melaka.

“Pada masa ini pihak hospital menerima pelbagai rujukan pesakit tidak mengira dari dalam atau luar negeri termasuk rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya.

Hospital Melaka

Dr Rusdi menambah, khidmat rawatan pesakit luar di Klinik-Klinik Pakar Hospital Melaka boleh diperoleh melalui rujukan daripada klinik-klinik kesihatan dan fasiliti kesihatan swasta.

Bagi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pula, ia ada disediakan di klinik-klinik kesihatan sekitar negeri Melaka.

“Pelanggan boleh membuat temujanji dengan mengakses kepada aplikasi MySejahtera dan memilih slot temujanji yang disediakan.

“Semua pihak adalah dimohon untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. hospital Melaka Masih dapat memberi khidmat yg Baik wpun dgn keadaan yg sentiasa bz dgn pesakit² dan kesesakan lalulintas. sya org Johor dan dapat diterima dgn Baik sekali. Cuma tempat parking diluar hospital yg amat sesak.

Comments are closed.