Menteri Besar Terengganu yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program MGSkop sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di Chukai, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2023.

KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan pencalonnya bagi menghalang ‘pengaruh’ calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurut Ahmad Samsuri, semua pihak mengetahui situasi sokongan yang dihadapi BN ketika ini justeru katanya, tidak timbul isu untuk mengimbangi pengaruh yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

“Saya rasa tidak ke situ. Bukan kerana kita nak memperkecilkan pengaruh calon dari parti lawan tetapi semua penduduk dan pengundi di sini mengentahui bagaimana traction beliau dalam parti yang dianggotai beliau itu.

“Kita tak ada masalah sebenarnya untuk meletakkan calon-calon yang lain. Saya rasa itu tidak menjadi pertimbangan mengapa saya dipilih bertading dalam pilihan raya kecil.

“Bukan itu asas yang dilihat oleh parti oleh kerana kita berdepan dengan mantan PAT maka kita kena meletakkan calon heavyweight. Tidak, itu tidak menjadi pertimbangan,” kata Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian dalam program Skop MG yang boleh ditonton di semua platform media sosial MalaysiaGazette.

Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO termasuk Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa Pas meletakkan Ahmad Samsuri kerana gusar dengan pengaruh Raja Mohamed Affandi.

Ahmad Samsuri berkata, seperti mana beliau terkejut ketika pertama kali diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum 2018, begitulah perasaannya ketika namanya naik sebagai calon PRK Parlimen Kemaman.

“Saya ini orang parti, ketika bertanding kali pertama 2018 untuk DUN Ru Rendang pada peringkat awal memang saya sedih dengan pencalonan itu sebab saya tidak menjangkakan dan terfikir pun nak menjadi seorang ahli undangan negeri. Apatah lagi menjadi menteri besar.

“Tetapi sebagai orang parti yang ditarbiah dan dididik daripada awal lagi kita diberi kefahaman bahawa bila diberikan tanggungjawab, sudah tentu parti, kepimpinan sudah memikirkan pelbagai aspek dan mempunyai pertimbangan mereka.

“Bila diberi tanggungjawab dan kita sebagai ahli parti yang taat tidak ada pilihan haruslah menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

Ahmad Samsuri bagaimanapun secara merendah diri berkata, walaupun calon Pas memenangi Parlimen Kemaman pada pilihan raya lalu dengan majoriti yang amat besar namun parti itu tidak memandang mudah terhadap parti lawan.

Katanya, Pas menggerakkan jentara kempen dua minggu sebelum hari pencalonan yang menggambarkan parti itu serius menghadapi PRK Parlimen Kemaman.

Pada PRU15 calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ahmad Said (Barisan Nasional), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Pari Pejuang Tanah Air).

Bagaimanapun kemenangan Che Alias dibatalkan selepas mahkamah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi di kawasan Parlimen terbabit sewaktu kempen PRU15.-MalaysiaGazette