MELAKA – Seramai 16 individu termasuk tiga warga China didenda RM48,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Kesemua tertuduh, adalah Ooi Shou Lian, 27, Foo Nian Cher, 37, Chong Teck Ann, 28, Ooi Soon Hong, 27, Ngin Wooi Ching, 27.
Yong Jian Wei, 25, Chan Kian Heng, 25, Tan, Sheng Hooi, 27, Lee Wai Kong, 24, Chong Kok Wei, 21, Ahmad Asyraf Othman, 22, Liw Yit Loong, 27, Lee Wai Si, 22.
Tiga warga China adalah, Xiao Kunmang, 24, Zhou Qi, 22, Yu Quan, 32.
Mengikut pertuduhan, semua mereka bersama-sama sebagai pihak daripada pakatan jenayah telah melakukan kesalahan memperdaya mangsa-mangsa di United Kingdom dalam tawaran pekerjaan atas talian yang tidak wujud.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 2, Jalan Vista Kirana 3, Taman Vista Kirana, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah di sini, kira-kira 3.30 petang 21 November lalu.
Pertuduhan di bawah Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa, Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu dalam rayuannya semua tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana perlu menanggung keluarga selain ibu bapa yang sakit.
Soon Hong merayu kerana merupakan pesakit kanser saraf tahap dua yang perlu mengumpul duit untuk rawatan kanser.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman setiap tertuduh didenda RM3,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette