MELAKA – Pengurusan Melaka Sentral terpaksa menangguhkan sementara kos memperbaiki kerosakan keseluruhan bumbung terminal pengangkutan awam itu susulan kosnya yang terlalu tinggi.
Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn Bhd, Datuk Hasnoor Husin bagaimanapun berkata, pihaknya akan menyegerakan kos baik pulih kerosakan kritikal seperti saluran air hujan yang tular di laman media sosial semalam.
“Untuk kerosakan kritikal seperti itu, ianya akan segera diperbaiki melibatkan kos dianggarkan RM40,000 namun tidaklah sampai kita hendak tukar keseluruhan bumbung yang bocor di sana sini.
“Kerosakan lain itu kita akan tukar sedikit demi sedikit kerana kita sedang dalam perancangan membina terminal baharu menggantikan Melaka Sentral pada suku pertama tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek terminal baharu itu melalui usahasama dengan sebuah syarikat pemaju perlu disegerakan kerana tanah terminal sedia ada yang beroperasi sejak 2004 semakin mendap.
“Mendapan menyebabkan berlaku kerosakan dan setakat ini kita telah mengenalpasti satu daripada tiga pemaju untuk membina semula Melaka Sentral di tapak baharu melibatkan kos kira-kira RM900 juta.
“Kertas kerja telah pun diproses dan keputusan di peringkat ahli jawatankuasa penswastaan yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan dibuat dalam masa satu atau dua bulan ini sebelum projek dijangka bermula pada suku pertama 2024,” katanya.
Tambahnya, apabila siap terminal baharu itu mampu menampung sehingga 1,000 trip perjalanan bas sehari berbanding terminal sedia ada menampung sebanyak 220 trip dengan jumlah 4,500 penumpang sehari. – MalaysiaGazette
Mahalnya…