Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Ketiadaan protes secara terbuka terhadap kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak membuktikan UMNO Sabah disokong pimpinan dan ahlinya, apatah lagi tidak berpecah kepada dua kumpulan.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu hanya satu kedangkalan dalam menterjemah sokongan kepada UMNO.

“Ahli-ahli UMNO Sabah sebenarnya telah berpecah kepada dua kelompok walaupun cuba dinafikan oleh Bung Moktar.

“Sebagai aktivis politik yang pernah menjadi barisan hadapan membantu UMNO Sabah sejak 1999, ahli-ahli termasuk pemimpin UMNO Sabah sememangnya telah berpecah kepada dua kumpulan.

“Tiada protes terbuka pimpinan dan ahli-ahli UMNO Sabah, kemudian dijadikan indeks kononnya majoriti pimpinan dan ahli UMNO sokong Bung bekerjasama dengan Shafie Apdal jelas satu kebodohan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahad lalu, media melaporkan Bung Moktar menafikan spekulasi pihak tertentu yang mendakwa UMNO Sabah kini berpecah kepada dua kumpulan.

Bung berkata, jika adapun kumpulan dalam UMNO Sabah, ia bukan kerana berpecah dari kepimpinan, sebaliknya beberapa kumpulan pemikir diwujudkan untuk merangka pelan strategi berkesan bagi memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Zulkarnain juga berkata, hakikat sebenar UMNO Sabah telah kehilangan sokongan akar umbi UMNO menerusi data yang menunjukkan trend ini akan terus meningkat menjelang PRN17.

“Maklumat terkini yang kami perolehi dari badan bebas secara jelas menunjukkan majoriti ahli UMNO di peringkat akar umbi masih menolak kerjasama dengan Parti Warisan Sabah.

“Sebelum ini, langkah kudeta UMNO dan Warisan menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor juga menjadi penyebab utama lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO keluar parti.

“Antaranya ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut),” katanya.

Katanya lagi, UMNO Sabah telah kehilangan ramai pemimpin pelapis masa hadapan yang telah berhijrah beramai-ramai keluar menyertai Parti Gagasan termasuk Datuk Jamawi Ja’afar.

“Rakyat Sabah termasuk ahli-ahli UMNO Sabah pernah merasai betapa dahsyatnya berada dalam pemerintahan Parti Warisan yang diketuai oleh Shafie Apdal.

“Isu pengangguran meningkat, ekonomi Sabah jatuh merudum, isu kronisme Semornasisai, kegagalan membawa masuk pelabur ke Sabah serta UMNO hanya bertahan selama dua hari memerintah Sabah sebelum diguling Shafie Apdal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Usah percaya dakwaan UMNO Sabah berpecah