Razali Idris

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dicabar supaya melepaskan jawatan tanpa berselindung di sebalik Akta Lompat Parti dan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk diadakan pilihan raya kecil segera.

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Senator Datuk Razali Idris berkata, mandat rakyat harus dipertahankan dalam sistem demokrasi negara.

Katanya, justeru pemimpin tidak berprinsip yang mengkhianati pimpinan dan rakyat harus dihukum serta disingkirkan mengikut perlembagaan parti dan undang-undang negara.

Menurut Razali, kenyataan terbuka Syed Abu Husin menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa amat dikesali dan bersifat angkuh.

“Pengumuman yang dibuat semasa mengemukakan soalan tambahan kepada perdana Menteri ketika sesi Waktu Pertanyaan Dewan Rakyat adalah ‘biadap” dan mengkhianati mandat parti serta rakyat yang memilih beliau sebagai calon dan ahli parlimen pada PU15 yang lalu.

“Pihak BERSATU memandang serius kenyataan oleh Ahli Parlimen Pendang yang mengaitkan perubahan sokongan MP Bukit Gantang adalah bagi menjaga kepentingan peribadi dan keluarga yang terlibat dalam pernigaan dan dakwaan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan:

Razali berkata, beliau juga amat bersetuju dengan desakan Ketua Bahagian Bukit Gantang supaya Syed Abu Hussin melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi rakyat memberi mandat baru jika benar tindakan beliau untuk membela nasib rakyat dalam Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga mendakwa, usaha-usaha berterusan mengugut dan menawarkan sogokan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang terus dilakukan secara terancang.

“Sehingga kini tiada kenyatan dikeluarkan oleh SPRM dan PDRM atas Laporan Polis yang telah dibuat bagi menyiasat samada wujud penyalahgunaan kuasa dan rasuah sehingga mendorong secara “paksa” beberapa orang ahli parlimen membuat kenyataan menyokong Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Semalam, Syed Abu Hussin secara terbuka menyatakan sokongan kepada perdana menteri dan pentadbiran kerajaan Madani. Beliau juga menggesa bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘berdamai’ dengan Anwar bagi membangunkan negara. – MalaysiaGazette