Konsert sempena Loy Krathong yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

KOTA BHARU – Sami Wat Pathumviharn di Bachok, Phor Than Plen kesal apabila penganjuran program muzik sempena dengan perayaan Loy Krathong disensasikan.

Katanya, pihak tokong atau wat telah menganjurkan perayaan Loy Krathong selama 29 tahun.

“Kami telah membuat permohonan dengan polis dan menjelaskan apa yang akan dijalankan.

“Kami juga memberitahu tetamu dan penyanyi jemputan tentang soal pakaian dan ucapan,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Katanya, program muzik diadakan untuk menarik kunjungan orang muda supaya mereka dapat berinteraksi dengan sami-sami dan belajar tentang agama.

Beliau juga bimbang isu yang berlaku akan menjejaskan keharmonian di Kelantan serta memberi imej tidak baik kepada pihak wat.

Kerajaan negeri Kelantan telah menjelaskan konsert Pesta Loy Krathong di Bachok yang berlangsung Jumaat lalu dengan menampilkan penyanyi dari Thailand, mempunyai permit sah.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah bagaimanapun berkata, pihak penganjur gagal mematuhi sebahagian peraturan yang ditetapkan.

Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pakaian selain membenarkan pengunjung Muslim ke konsert berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Kelantan,  Lim Guan Seng menjelaskan bahawa konsert di Bachok adalah diadakan dalam kawasan wat Siam sempena dengan Loy Krathong.

“Aktiviti seperti ini tidak akan diadakan jika bukan kerana perayaan.

“Seperti juga dengan tokong Cina yang perlu meminta kelulusan semasa mengadakan aktiviti, tokong Siam juga perlu meminta kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya seperti dipetik Guang Ming Daily.

Beliau yang juga pegawai penerangan kerajaan negeri berkata, berlainan dengan tokong Cina yang kadangkala mengadakan program di luar tokong, komuniti Siam lazimnya hanya mengadakan aktiviti dalam kawasan wat. – MalaysiaGazette