Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun bank milik Aman Palestin dilihat hanya mendera rakyat Gaza yang kini berdepan musim sejuk tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bantuan kewangan sebanyak RM10 juta yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak dapat disalurkan kerana langkah SPRM itu.

“Pihak Aman Palestin telah menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon mengurangkan kesengsaraan mereka.

“Malangnya, Aman Palestin disiasat SPRM dan akaun-akaun mereka dibekukan. Dengan itu, bantuan RM10 juta yang disediakan tidak dapat disalurkan.

“Jika tidak, SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang memang sedang menderita akibat deraan Israel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM membekukan 41 akaun Aman Palestin Bhd (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762 pada 22 November lalu.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan lain.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mencadangkan SPRM menarik balik langkah pembekuan itu dan dalam masa sama meneruskan siasatan agar penyaluran dana itu tidak tersekat.

“SPRM boleh terus buat siasatan tetapi wang sebanyak RM10 juta dari akaun-akaun Aman Palestin perlu dibenar disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab yang menderita menghadapi musim sejuk.

“Jika SPRM sangsi sama ada wang tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin atau tidak, mereka boleh hantar pegawai mereka mengiringi wakil Aman Palestin yang diamanah menyalur wang tersebut kepada rakyat Palestin,” katanya. – MalaysiaGAzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast