Pengamal media menunggu di luar pekarangan IPD Kajang sementara Abdul Wahab Kadir Jilani memberi keterangan.

KAJANG – Selepas tampil di Bukit Aman semalam, Pembantu Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani hadir pula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini bagi memberi keterangan.

Abdul Wahab, 33, hadir bersama peguamnya Faizal Abd Rahman tiba sekitar jam 11 pagi tadi untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Kajang.

Kemudan Abdul Wahab dilihat keluar pada jam 11.57 pagi menuju ke bilik Pegawai Penyiasat IPD Kajang ditemani peguamnya untuk dirakam keterangan.

Pada masa ini proses siasatan masih dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kajang, namun butiran berhubung motif laporan polis yang dibuat Wahab masih belum dapat dipastikan.

Peguamnya, Faizal juga memaklumkan bahawa dia akan memberikan butiran berhubung kehadiran mereka ke IPD Kajang kepada pihak media sebaik proses siasatan selesai dijalankan.

Semalam, beliau mengesahkan anak guamnya itu hadir ke Bukit Aman dan dirakam keterangan sekitar jam 10.30 pagi oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) berhubung kes fitnah membabitkan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zaid berkata, pihaknya sudah merakam keterangan daripada tiga individu dalam kes berkenaan iaitu Mohammad Agus, Mr H dan pekerja sebuah hotel tempat sidang media antara Agus dan Wahab diadakan.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Baru-baru ini tular video yang didakwa dirakam oleh Wahab atas arahan seorang individu bernama Mr H. Video tersebut memaparkan perbualan Wahab dengan Mohammad Agus dan rentetan daripada itu kedua-dua tampil dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bangi.

Susulan video tular itu juga Mohammad Agus telah membuat laporan di IPD Kajang.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: