Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata, secara teknikalnya, indeks penanda aras telah mengalami lantunan semula dan melepasi pergerakan cergas selama seminggu pada Khamis.
“Indeks itu telah mencecah purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari pada 1,453 pada Jumaat, justeru, kami percaya terdapat momentum menaik dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah, tahap rintangan seterusnya dikenal pasti pada 1,465 dan psikologi pada 1,500.
“Sekiranya FBM KLCI melepasi garisan rintangan 1,465, kami mengunjurkan potensi peningkatan seterusnya.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,445-1,465 untuk minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,445 diikuti 1,430,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata inflasi yang semakin perlahan, pengurangan kadar oleh Rizab Persekutuan AS dan pertumbuhan melebihi jangkaan mungkin boleh menjadi pendorong yang membina untuk saham.
Bagaimanapun, beliau berkata kejatuhan kos menunjukkan kebalikan inflasi yang diterajui oleh keuntungan, sekali gus mencadangkan bahawa margin korporat mungkin telah melambung.
“Jadi mungkin pendapatan, bukan kadar faedah yang lebih rendah, perlu bagi membantu melonjakkan saham Malaysia pada masa hadapan kerana terdapat banyak pemotongan kadar dalam perancangan oleh Rizab Persekutuan AS,” katanya.
Dalam pada itu, di dalam negara, lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) termasuk CelcomDigi Bhd (CDB) dan Maxis Bhd pada Jumaat memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bersyarat dengan Digital Nasional Bhd (DNB) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk melanggan kepentingan ekuiti dalam DNB.
SSA yang dimeterai itu akan menyaksikan setiap MNO menyuntik kira-kira RM233 juta yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan DNB.
DNB telah mencapai 73 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) di Malaysia setakat 31 Okt 2023 dan menyasar untuk mencapai sasaran 80 peratus CoPA menjelang akhir 2023.
Pada penutupan dagangan Jumaat di Bursa Malaysia, CelcomDigi susut 10 sen kepada RM4.24 dengan 34.51 juta saham diniagakan manakala Maxis menambah enam sen kepada RM3.96 dengan 994,500 saham bertukar tangan.
Sementara itu, berdasarkan kepada pergerakan Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI meningkat 2.46 mata untuk mengakhiri minggu dagangan pada 1,456.38 berbanding 1,453.92 seminggu yang lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 43.08 mata kepada 10,705.65, Indeks FBMT 100 turun 36.11 mata kepada 10,394.78, dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 66.43 mata kepada 10,877.58
Indeks FBM 70 merosot 283.69 mata kepada 14,048.05 manakala Indeks FBM ACE susut 72.27 mata kepada 5,133.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 4.75 mata kepada 16,379.57, Indeks Tenaga rendah 19.25 mata menjadi 815.6, tetapi Indeks Perladangan meningkat 59.11 mata kepada 6,990.41, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.12 mata kepada 171.99.
Bursa Malaysia mengakhiri minggu urus niaga dengan jumlah dagangan yang lebih kukuh sebanyak 17.66 bilion unit bernilai RM13.94 bilion berbanding 17.06 bilion unit bernilai RM10.28 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot untuk mencatatkan 10.85 bilion saham bernilai RM12.40 bilion berbanding 11.68 bilion saham bernilai RM8.80 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan waran mengembang kepada 3.03 bilion unit bernilai RM361.80 juta daripada 2.99 bilion unit bernilai RM380.72 juta minggu lepas.
Di Pasaran ACE pula, jumlah dagangan mengukuh kepada 3.76 bilion saham bernilai RM1.17 bilion berbanding 3.34 bilion saham bernilai RM1.10 bilion sebelumnya. – BERNAMA