Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan (kanan) menunjukkan unit tangki penyimpanan minyak yang dirampas pada Ops Tiris KPDNNS di Kawasan Perindustrian Gala hari ini.

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 38,500 liter minyak diesel disyaki bersubsidi bernilai RM82,775 dalam serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Kampung Kebun Jimah, Port Dickson, di sini, semalam.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, 13 lelaki berumur 20 hingga 54 tahun turut ditahan dalam serbuan itu kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah, sekali gus melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau berkata, dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu pihaknya turut menyita 15 lori, 32 unit tangki IBC, 15 unit pam minyak dan wang tunai RM21,000 yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM302,775.

“Premis itu dipercayai dijadikan sebagai tempat urus niaga jual beli minyak diesel, selain menjadi lokasi pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel bagi tujuan diseleweng,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Muhammad Zahir berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan. – Bernama