Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tengah) melakukan pelepasan Program 'Runhack Scam Alert 2023' di Stadium Bukit Jalil. Foto NUR SYADILA AMARI, 03 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penerangan (JaPen) akan membantu Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) memberikan penjelasan dan penerangan mengenai penggunaan Identiti Digital Nasional (IDN).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia antara lain bagi menjawab sebarang persoalan yang timbul, terutama yang membabitkan keselamatan data peribadi pengguna dan cara pendaftaran IDN.

Beliau berkata MIMOS telah mula memulakan usaha memberi penjelasan serta penerangan mengenai perkara itu kepada orang ramai dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga telah ditugaskan untuk membantu.

“Jadi insya-Allah dalam masa terdekat JaPen akan membantu MIMOS menerbitkan jawapan kepada set soalan-soalan lazim mengenainya, dan juga penjelasan (disampaikan) dalam bentuk video yang sangat ringkas,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Run Hack: Scam Alert 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini program berkenaan belum dimulakan secara meluas dan proses pendaftaran IDN dijangka akan mula ‘rancak’ pada bulan Mac tahun hadapan.

Fahmi berkata beliau juga telah meminta supaya pihak CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk bekerjasama dengan lebih rapat supaya sebarang isu berkaitan keselamatan data dan siber sentiasa dipantau dan diatasi.

IDN atau digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Tanpa menggantikan sistem MyKad, digital ID adalah platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Berkenaan program Run Hack: Scam Alert 2023, Fahmi berkata ia bertujuan memberikan kesedaran mengenai keselamatan siber dengan mengambil kira usaha negara dalam meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

Beliau seterusnya menyarankan setiap individu menjaga aspek-aspek keselamatan siber serta data peribadi, dan menyeru setiap organisasi untuk membuat pelaburan dalam mendapatkan perkhidmatan keselamatan siber yang baik untuk memastikan aset atau infrastruktur ICT mereka terjaga. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast