Kapal Maritim (KM) Nusa berlayar mengharungi perjalanan sejauh 750 batu nautika secara solo dari Kuala Terengganu ke Pulau Langkawi. Gambar: Ihsam Maritim

LANGKAWI – Kapal Maritim (KM) Nusa mengharungi perjalanan sejauh 750 batu nautika secara solo dari Kuala Terengganu ke Pulau Langkawi bagi menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Sempat berada di dalam kelompok 14 kapal yang terbabit dalam eksesais berkenaan ketika melalui perairan Pulau Pinang, KM Nusa turut berjaya menamatkan pelayaran dengan berlabuh di jeti Pulau Langkawi bersama kapal lain semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, semangat dan iltizam yang ditunjukkan pegawai dan anggota KM Nusa adalah contoh kesungguhan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberikan komitmen mereka demi memastikan sesuatu arahan berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata, selain bersemangat melaksanakan tugasan yang diamanahkan, warga Maritim Malaysia perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu khususnya ilmu pelayaran dan penguatkuasaan.

“Komunikasi taktikal misalnya perlu ditingkatkan kerana bilangan anggota semakin berkurangan disebabkan ramai bersara wajib dalam perkhidmatan.

“Oleh itu, tindakan segera perlu diambil dengan memberikan pendedahan ilmu komunikasi berkenaan kepada pelapis muda demi kepentingan operasi di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Norzam Mustapa serta Pengarah Maritim Negeri Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Hamid berkata, eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 turut berjaya mempamerkan keberadaan aset dan kesiagaan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan Selat Melaka.

Sepanjang eksesais ini berlangsung, Hamid turut memaklumkan tiada sebarang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dikesan berlaku di kawasan berhampiran sempadan negara di Selat Melaka.

Walau bagaimanapun katanya, KM Burau yang dalam eksesais yang sama berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menggajikan pekerja warga asing.

Hampir 500 peserta terbabit dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor untuk menjalani tiga fasa latihan iaitu Fasa Pelabuhan pada 26 dan 27 November, Fasa Laut bermula 28 November hingga 1 November 2023 serta Fasa Penutup pada 2 dan 3 Disember 2023 di Pulau Langkawi. – MalaysiaGazette