Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SERDANG – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dilantik sebagai Canselor Putra Business School (PBS) pada Majlis Konvokesyen PBS 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Pelantikan baginda berkuat kuasa selama tiga tahun bermula Mac 2023 hingga Mac 2026 itu diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah PBS, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Selepas pemahsyuran, Tengku Amir berkenan mengurniakan ijazah kepada 162 graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (PGCert), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Kesemua graduan tempatan dan antarabangsa itu diraikan pada majlis penuh istiadat yang diadakan di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

PBS merupakan Top Business School dan sebuah entiti perniagaan dimiliki sepenuhnya UPM memperoleh akreditasi bertaraf antarabangsa The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof Dr Azmawani Abd Rahman.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof Dr Azmawani Abd Rahman berkata, sejak ditubuhkan pada 2013, PBS menjadi perintis pendidikan pengurusan perniagaan bagi program pasca siswazah.

“Kami menerima akreditasi bertaraf antarabangsa daripada AACSB International selain mempunyai hubungan kukuh dengan industri di peringkat tempatan dan antarabangsa seperti Chartered Managemen Institute UK, dan badan profesional seperti Institut Pemasaran Malaysia.

“Selain itu program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) PBS diiktiraf sebagai program MBA terbaik di Malaysia dan ke-24 di Asia oleh QS World University Ranking 2024 sekali gus membuktikan graduan menerajui rantau ini daripada segi kepelbagaian, kebolehpasaran, keusahawanan dan kepemimpinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PBS 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast