Gambar hiasan

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, mengeluarkan sebanyak 8,465 notis kesalahan merokok dengan jumlah keseluruhan denda bernilai lebih RM2,114,750 dalam tempoh sembilan bulan pertama sepanjang tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, A Sivanesan berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut Sekysen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menurutnya, jumlah notis kesalahan dan denda itu meningkat berbanding 2022 yang hanya mencatatkan 5,222 notis dengan RM1,305,500 nilai denda yang dikutip sepanjang tahun berkenaan.

”Selain itu, sebanyak 2,274 aktiviti operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan JKN setakat September lalu berbanding 2,603 sepanjang tahun lalu.

”Jika dibandingkan bagi tahun 2023 (sehingga bulan September) dan tahun 2022, terdapat peningkatan bilangan pengeluaran notis, nilai kutipan melalui pembayaran kompaun dan bilangan pengeluaran bagi aktiviti operasi penguatkuasaan juga dijangka meningkat.

”Sehubungan itu, pelbagai langkah diambil bagi menangani masalah perokok ini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah pada awal usia persekolahan yang menjadi prioriti dalam Pelan Tindakan JKN Perak.

”Sepanjang tahun 2022 dan 2023, sebanyak 108 aktiviti kempen advokasi telah dijalankan merangkumi aktiviti di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekolah, masjid, kompleks membeli belah, jabatan kerajaan dan komuniti yang melibatkan keseluruhan 14,737 individu.

”Di antara program-program advokasi yang dijalankan adalah Progam Advokasi Bahaya Merokok dan Kawasan Larangan Merokok, Program Advokasi Speak Out, Program Jom Berhenti Merokok, Advokasi Rumah Bebas Asap Rokok atau MyHouse dan Promosi Generational End Game (GEG).

”Turut diadakan Kempen mQuit Masjid, Kempen Bahaya Merokok Sempena Nafas Baru Bermula Ramadhan dan aktiviti ceramah dan pameran kesihatan melibatkan remaja serta pelajar sekolah dalam pengambilan vape dan rokok serta risiko kepada kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS-Bota) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi JKN akan terus mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR) dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan universiti-universiti di negeri Perak.

Katanya, edaran soalan lazim berkaitan rokok dan rokok elektronik telah dijalankan pada Ogos tahun ini kepada semua daerah dan agensi di negeri ini.

”JKN akan terus mempergiatkan usaha dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkaitan bahaya penggunaan rokok elektronik atau vape.

”Sebagai contoh, JKN kini dalam usaha melaksanakan taklimat dan latihan kepada anggota kesihatan berkaitan penyakit akibat penggunaan rokok elektronik iaitu Electronic Cigarette and Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).

”Taklimat dan latihan ini penting supaya semua kakitangan kesihatan dapat memberikan maklumat dan informasi yang betul kepada masyarakat berkenaan bahaya rokok elektronik atau vape. –  MalaysiaGazette