Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu dilantik, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO dapat bergerak dalam satu pasukan bagi memperjuang agama, bangsa dan tanah air.

Beliau yang menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan terima kasih kepada tokoh pemimpin parti itu atas komitmen, bantuan dan kerjasama beliau dalam menerajui UMNO Johor selama ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO Malaysia yang telah melantik dan memberi kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas komitmen, bantuan dan kerjasama beliau dalam menerajui UMNO Johor selama ini.

“Saya juga mohon agar kepimpinan dan ahli UMNO Johor dapat bersama-sama bergerak sebagai satu pasukan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah,” katanya yang juga Meneri Besar Johor menerusi kenyataan di laman X, hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO memaklumkan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan Terengganu diganti berkuatkuasa serta-merta.

Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said manakala, Johor pula jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri diberi kepada Onn Hafiz.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor yang berkuat-kuasa serta merta,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette