Panglima TUDM, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan pada sidang media di Subang hari ini.

SUBANG – Permohonan daripada kaum bukan Melayu menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukkan sedikit peningkatan bagi empat sesi pengambilan yang terkini berbanding sebelum ini.

Panglima TUDM, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, tidak ada kuota untuk menghadkan penyertaan bukan Melayu dalam bidang berkenaan.

Sehingga kini lebih kurang 12 peratus dalam kalangan pegawai dan anggota dalam kalangan bukan Melayu.

“Saya yakin penyertaan bukan Melayu akan semakin meningkat dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan pendidikan yang disediakan,” katanya.

Sebelum itu beliau menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM tahun 2023 di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Menurut Mohd Asghar Khan, secara purata sekitar 13,500 pemohonan diterima bagi setiap sesi pemilihan. Walau bagaimanapun, kebanyakan yang memohon ini tidak memenuhi syarat dan kriteria asas yang telah ditetapkan untuk menyertai TUDM.

Manakala bagi pengambilan pegawai pula, sekitar 4,500 permohonan diterima bagi setiap tahun.

”Daripada jumlah tersebut, terdapat juga peningkatan dari segi permohonan dari bukan melayu untuk menyertai perkhidmatan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, TUDM masih lagi membuka penyertaan kepada semua belia untuk menjadi anggotanya tanpa mengira kaum dan bangsa.

Keutamaan adalah kemampuan anggota untuk menggalas tugas sebagai pasukan yang mampu mengendalikan peralatan persenjataan berteknologi tinggi.

“TUDM sebagai pasukan angkatan tentera yang mengendalikan peralatan persenjataan yang berteknologi tinggi memerlukan pegawai dan anggota LLP mempunyai tahap akademik, kecergasan fizikal dan mental serta kesihatan yang tinggi dalam memastikan semua kelengkapan peralatan berteknologi tinggi ini dapat dikendalikan secara optimum,” katanya lagi.-MalaysiaGazette