Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir merasmikan Majlis Peluncuran Bantuan Subsidi Pembelian Tiket Penerbangan untuk Pelajar Universiti Awam bagi Laluan Domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak Dan Wilayah Persekutuan Labuan atau ringkasnya FLYsiswa di Universiti Malaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 50,096 pelajar layak untuk mendapat bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan  domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan atau FLYsiswa yang diperkenalkan sejak 15 Ogos lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 72 peratus telah mengemukakan permohonan baucar daripada syarikat-syarikat penerbangan sehingga Selasa lalu.

Beliau berkata, institut pengajian tinggi yang paling ramai pelajar mendapat manfaat adalah dari Universiti Teknologi MARA dengan 7,791 pelajar diikuti Universiti Malaysia Sabah (6,280), Universiti Malaysia Sarawak (4,975), Universiti Pendidikan Sultan Idris (4,780) dan Universiti Malaya dan sebanyak 2,267 pelajar.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati para pelajar untuk menerapkan kemahiran perancangan ke depan atau forward planning yang baik.

“Saya difahamkan Kalendar Pengajian Sesi Akademik 2023/2024 untuk Universiti Malaya dan beberapa universiti lain telah pun diterbit, maka pelajar-pelajar perlulah merancang perjalanan dari awal untuk memanfaatkan harga tambang penerbangan yang terbaik walaupun Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan bantuan subsidi sebanyak RM300.

“Pelajar yang layak tetapi masih belum menebus bantuan subsidi ini diminta segera memohon kerana ia harus dibuat selewat-lewatnya pada 31 Disember ini tetapi tarikh perjalanan boleh pada bila-bila masa termasuk tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran FLYsiswa yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Universiti Malaysia di sini hari ini.

Inisiatif FLYsiswa dipersetujui Jemaah Menteri pada 12 Julai dan mula dilaksanakan pada 15 Ogos lalu melalui kaedah pemberian baucar digital bernilal RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembellan tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain pelajar universiti awam, pelaksanaan inisiatif itu turut diperluaskan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta pelajar Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mulai 6 Oktober lepas.

Pelaksanaan FLYsiswa mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Berhad, Air Asia dan Batik Air.

Satu portal khas diwujudkan untuk memudahcara penempahan tiket menggunakan baucar FLYsiswa secara atas talian yang boleh diakses di laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my.

Mengulas lanjut, Anthony menasihati pelajar merancang perjalanan dari awal untuk memanfaatkan harga tambang penerbangan yang terbaik walaupun Kerajaan Perpaduan memperuntukkan bantuan subsidi sebanyak RM300.

Jelas beliau, ini kerana permintaan yang jauh melangkaui penawaran akan menjejaskan harga tambang berbanding sebelum zaman Covid-19 pada 2019.

“Ketika itu, kapasiti penerbangan untuk laluan di antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan hanya mencapai tahap 75 peratus setakat Ogos 2023.

“Namun pemulihan jumlah penumpang mencapai lebih 100 peratus setakat April 2023, berbanding zaman pra-pandemik pada April 2019,” katanya.

Sementara itu, Anthony dalam sidang media berkata, mekanisme tuntutan inisiatif Flysiswa ini amat mudah dengan segala proses dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian.

“Setakat ini kita tentukan RM300 terlebih dahulu. Kita kena lihat kemampuan kewangan kerajaaan untuk menaikkan subsidi itu pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast