Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat mengasak pemain Terengganu FC, Ivan Mamut pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang legenda, Mohd Safee Sali berpendapat kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) wajar dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas menjatuhkan penyerang, Ivan Mamut dalam kotak penalti pada minit ke-18 perlawanan.

Safee Sali merasakan tindakan Jordi Amat itu memang wajar diberikan penalti dan dilayangkan kad merah kerana situasi tersebut mempunyai peratusan gol yang sangat tinggi.

“Saya rasa yang kedua wajib diberikan penalti kerana itu adalah satu tindakan yang betul-betul Ivan Mamut boleh menjaringkan gol.

“Satu lagi tindakan yang boleh dipersoalkan kerana Jordi Amat ialah pemain terakhir yang mematahkan Ivan Mamut untuk menjaringkan gol.

Safee yang juga bekas penyerang JDT  pelik dengan tindakan pengadil yang memberikan penalti kepada Harimau Selatan tanpa sentuhan yang keras seawal minit kelima permainan.

“Penalti itu sangat soft untuk diberikan, baru lima minit perlawanan pengadil harus membuat gerakan yang lebih rasional kerana permainan baru mula.

“Tindakan dan jatuhan itu terlalu soft saya rasa benda itu tidak sepatutnya diberikan penalti,” jelasnya.

JDT dan TFC terikat dengan keputusan 1-1 pada aksi separuh masa pertama, kedua-dua gol dihasilkan menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, JDT berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut selepas menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1 hasil jaringan Bergson, Feroz Baharudin dan Arif Aiman. – MalaysiaGazette