ACP Amihizam Abdul Shukor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dipercayai membunuh ibu dan bapanya  bapa dengan menikam mereka menggunakan benda tajam di rumah mereka di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala memiliki rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek melarikan diri masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kediamannya.

“Polis menerima maklumat kejadian pada jam lebih kurang 7.43 malam daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan keluarga dalam rumah.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati berlaku pergaduhan keluarga membabitkan suspek dan ibu bapanya dalam rumah mereka sebelum suspek disyaki menikam mereka.

“Akibat kejadian ini pasangan suami isteri ditemui terbaring di lantai rumah dipercayai ditikam suspek yang juga akan kandung mereka,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan warga emas mati ditikam anak

Menurut Amihizan, selepas menikam pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu, suspek yang berumur 42 tahun melarikan diri ke dalam hutan berhampiran lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan polis daripada JSJ Ibu Pejabat Kontinjen KL dan IPD Brickfields telah mengatur gerakan memburu suspek yang berada di dalam hutan itu.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap di bawah Terowong Penchala Lebuhraya Sprint menghala ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambah beliau, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh itu dalam tempoh 2 jam 40 minit selepas kejadian berlaku.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

Pasangan warga emas mati ditikam anak