MELAKA – Seorang suri rumah tidak menyangka hasrat anaknya untuk menjual koleksi kad selebriti Korea bernilai RM150 akhirnya menyebabkannya kerugian hampir RM10,000.
Lebih dikesalkan, perbuatan itu didakwa berpunca daripada tindakan pihak bank yang enggan membekukan transaksi dipercayai dilakukan scammer pada 21 Ogos lalu walaupun dia menyedari menjadi mangsa penipuan.
Wanita berkenaan, Lim Saw Yong, 54, berkata, anak perempuannya berusia 20 tahun sebelum itu telah mengiklankan 10 keping kad artis Korea berkenaan sebelum dihubungi individu kononnya berminat untuk membelinya.
“Individu itu mendakwa telah membuat pembayaran, namun tidak menunjukkan bukti transaksi sebaliknya meminta anak saya mengembalikan wang tersebut melalui satu e-mel dan pautan laman sesawang yang diberikan.
“Ini adalah kali pertama anak saya menggunakan platform jualan atas talian itu dan tanpa sebarang rasa curiga, dia membuka pautan diberikan.
“Tidak lama kemudian, wang berjumlah RM9,931.50 hilang dalam hanya satu transaksi membuatkan saya segera memaklumkan perkara itu kepada pihak bank,” katanya pada sidang media di pejabat Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Melaka di Kota Laksamana Jaya di sini.
Tambah suri rumah itu, dia bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan pembekuan akaun hanya boleh dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan semula wangnya itu.
“Mangsa telah buat tiga laporan polis, berjumpa dengan pengurus bank termasuk menulis surat aduan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia namun tidak berhasil.
“Pihak bank memaklumkan memerlukan 45 hari untuk menyiasat perkara itu namun apa yang mengejutkan apabila mereka memaklumkan telah menutup kes saya pada 15 November lalu dengan alasan terdapat bukti saya meluluskan transaksi itu.
“Susulan itu saya telah memanggil pihak-pihak yang terlibat untuk perbincangan namun seperti tidak dipedulikan,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua MTPN Melaka, Aalex Kong Sin Fatt berkata, pihaknya menerima banyak aduan sedemikian dan berharap lebih ramai mangsa dapat tampil untuk dibantu.
“Saya minta kepada mangsa lain yang berdepan masalah serupa supaya datang ke pejabat kami supaya isu ini dapat diketengahkan untuk membuka mata pihak berkuasa ia adalah isu serius dan perlu penyesaian segera,” katanya. – MalaysiaGazette
susah mereka ni nak layan kita . mereka seolah nak Hajar kita supaya berhati2 dimasa depan . biar kerugian ini sebagai kos pengajaran yang berbaloi .