KUANTAN – ”Mak rindu kamu, Choy. Kamu tidak rindu mak ke?,” rintih seorang ibu yang sangat rindukan anaknya.
Chang Moi Ling, 67, mencari anak lelaki bongsunya, Chin Kim Choy yang telah menghilangkan’ jejak sejak tahun 2017.
Kim Choy, 40, dipercayai masih berada di Singapura berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa negara berkenaan.
Menurutnya, kali terakhir berhubung dengan anaknya enam tahun lepas. Ketika itu Kim Choy berjanji untuk memberikan ibunya S$300.
”Walau pun anak janji nak berikan 300 dollar, kemudian saya bagitahu tidak perlu 300 dollar, cukuplah 100 dolar dan kemudian 50 dolar. Selepas itu saya dan dua abangnya tidak dapat hubungi dia lagi kerana nombor telefon dan akaun Facebook juga disekat,” ceritanya kepada media.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Komuniti DUN Semambu di Kuantan bersama ADUN Semambu, Chang Chung Kuang dan Pegawai perhubungan Awam Malaysia Intenantional Humanitarian Organization (MHO) Daneil Khoo hari ini.
Menurut warga emas itu, anak bongsunya seorang pendiam sejak kecil, tidak ramai kawan namun mempunyai seorang teman wanita dari Vietnam.
Moi Ling berkata, dia sudah membuat laporan polis pada 2 Disember 2023 kerana khuatir jika anaknya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Menurutnya. anak lelakinya itu bekerja di Singapura sejak 2007 sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran.
Moi Ling berharap anaknya selamat dan memohon orang ramai untuk memberi maklumat jika menemui Kim Choi dengan menghubungi talian 016-6263125. – MalaysiaGazette