anggota bomba mengeluarkan pemandu treler muatan konkrit batu yang tersepit dalam nahas enam kenderaan berhampiran Restoran Jejantas RnR Sungai Buloh malam ini, Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan enam kenderaan di Kilometer 457.0 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh, di sini, malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokthar berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan orang awam pada jam 9.58 malam mengenai insiden itu.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bomba dengan sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bergegas lokasi nahas.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit, sebuah lori kontena, dan empat kenderaan jenis Nissan Almera, Perodua Axia, Kenderaan Utiliti Sukan Honda HRV dan sebuah kereta jenis Honda City,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati seorang pemandu treler muatan batu tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan berat itu.

“Anggota di lokasi telah menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.

“Bagaimanapun, pemandu lori muatan konkrit warga tempatan berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian itu.

“Manakala pemandu kenderaan Honda HRV berusia 20-an pula mengalami kecederaan ringan dalam nahas tersebut,” ujarnya.-MalaysiaGazette