Hishamuddin Abdul Karim (gambar fail)

KUALA NERUS – Pasukan Terengganu FC (TFC) akan mengurangkan pengambilan pemain import musim depan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kelab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata khidmat pemain import skuad Penyu mungkin akan dikurangkan daripada sembilan kepada lima orang berikutan faktor kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan negeri ketika ini.

Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata perkara berkenaan akan dibincang lebih lanjut bersama barisan kejurulatihan bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada prestasi pasukan.

“Kita akan kurangkan beban untuk penjimatan. Kita jangka akan guna lima sahaja (pemain import)… bergantung kepada pandangan jurulatih dan bajet,” katanya ketika ditemui pada Program Exclusive Meet and Greet With World Championship FIM Mini GP 2023 di Litar Permotoran Gong Badak di sini.

Beliau berkata selain daripada pengurangan kuota pemain import, tiada rombakan atau perubahan besar akan dilakukan pasukan itu untuk musim depan.

Menurut Hishamuddin ia memandangkan pasukan gergasi Pantai Timur berkenaan sudah mempunyai asas kukuh dan kini berada di landasan betul untuk meneruskan kecemerlangan pada musim akan datang.

“Dalam keghairahan pasukan lain, persiapan TFC  (musim depan) pula tak terlalu besar sebab sudah ada asas kukuh pasukan dan sebahagiannya sudah kita lakukan.

“Cuma hanya perlu masukkan beberapa pemain import dan perkara itu juga sedang berjalan. Kita akan maklum untuk kemasukan (pemain import) dan pelepasan dari masa ke masa,” katanya.

TFC baru-baru mengumumkan mengekalkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali skuad Penyu musim depan selepas berjaya membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Malaysia.  – BERNAMA