Melaka menggalakkan semua pelajar, jemaah masjid dan surau memakai pelitup muka bagi mengekang penularan virus Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

MELAKA – Melaka menggalakkan semua pelajar, jemaah masjid dan surau memakai pelitup muka bagi mengekang penularan virus Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, walaupun tiada kewajipan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) namun usaha awal pencegahan boleh dilakukan.

“Setakat ini negeri (Melaka) kita tunggu arahan dari KKM namun oleh kerana penularan Covid-19 yang semakin meningkat jadi kita galakkan pelajar sekolah dan jemaah pakai pelitup muka.

“Saya tengok pun sekarang sudah mula ramai kembali pakai pelitup muka kerana risau peningkatan kes walaupun tiada prosedur operasi standard (SOP) wajib berbuat demikian dikeluarkan KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kes baharu Covid-19 di Melaka meningkat kepada 534 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 48 yang berakhir pada 2 Disember lepas berbanding 268 kes pada ME 47.

Sebanyak 458 kes aktif sedang menerima rawatan dan terdapat satu kluster aktif dilaporkan iaitu Kluster Paya Rumput Jaya pada ME 48 yang juga kluster pendidikan dan dijangka akan tamat pada 25 Disember ini. – MalaysiaGazette