KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar tali seekor lembu yang terlepas secara mengejut di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dekat sini semalam.
Lelaki berusia 23 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati, kejadian pukul 9 malam itu berlaku ketika mangsa dari Sungai Samak, Hutan Melintang menghala ke Sungai Lang.
“Tiba di lokasi, seekor lembu yang ditambat di bahu jalan disyaki terlepas menyebabkan penunggang motosikal melanggar tali haiwan itu lalu terjatuh atas jalan raya,” katanya seperti dilaporkan hari ini.
Agus Salim berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kaki kanan dan kiri.
Menurutnya, motosikal mangsa jenis Honda RS 150 mengalami pelbagai kerosakan susulan pelanggaran yang sama.
“Siasatan lanjut di lokasi mendapati keadaan jalan mempunyai garisan tengah putus-putus dan permukaan jalan kering serta cuaca berkeadaan baik,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -MalaysiaGazette