Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto Ihsan UPTM.

KUALA LUMPUR – UMNO belum membuat sebarang keputusan mengenai jalinan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi menentang kerajaan negeri yang kini ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, idea awal kerjasama itu dilontarkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan daripada pihak parti itu.

“UMNO Sabah yang kata ke? Tak betul itu, tak munasabah.  Datuk Shafie Apdal tu. Kita belum buat apa-apa keputusan,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Poly-Tech Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd Shafie berkata, perkara itu bukan mustahil dan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.

“Kita duduk semeja (berbincang) dengan mereka (UMNO Sabah) untuk kepentingan wilayah Sabah dan rakyatnya.

“Bagaimana ia dapat diterjemahkan untuk dijadikan kenyataan? Saya nyatakan kepada Bung bahawa kami di sini, kalau perlu kerjasama antara kita (Warisan dan UMNO Sabah) ialah untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan ke-6.

Kerjasama itu bakal menyaksikan Warisan-UMNO akan menentang GRS diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditemui berkata, tiada halangan menjalin kerjasama dengan Warisan.

Menurutnya, walaupun setakat ini UMNO Sabah belum menjalin kerjasama secara rasmi dengan Warisan namun beliau akui kepentingan kerjasama antara parti politik bagi menghadapi PRN yang dijangka tahun depan. – MalaysiaGazette