Wan Rosdy Wan Ismail melawat gerai jualan sayur-sayuran di Pekan Sehari Temerloh selepas merasmikan Program Cashless Pekan Sehari Temerloh dan Majlis Penyerahan Sijil MBOR di pekan sehari itu di sini hari ini. 

TEMERLOH – Kerajaan Pahang akan mengemukakan permohonan supaya Pekan Sehari Temerloh di sini yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun diwartakan sebagai tapak warisan, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pewartaan sebagai tapak warisan dapat mengekalkan keunikan dan sejarah pekan sehari berkenaan, selain menjadi nilai tambah kepada pasar pagi yang beroperasi setiap Ahad di Lurah Semantan, di tebing Sungai Pahang itu.

“Pekan sehari ini tidak terdapat di tempat lain dan mendapat dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu sebagai pasar terpanjang menjangkau 2.1 kilometer, melibatkan 607 peniaga, yang membolehkan pekan sehari ini diiktiraf sebagai bilangan peniaga pasar pagi terbanyak.

“Saya juga dapat menyaksikan demonstrasi urus niaga pekan sehari yang menggunakan kaedah barter (pertukaran barang) pada masa dahulu, dan kini selari dengan peredaran masa, separuh daripada peniaga di sini juga berurus niaga secara tanpa tunai (cashless),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cashless Pekan Sehari Temerloh dan Majlis Penyerahan Sijil MBOR di pekan sehari itu di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh Suris Mihat.

Pekan Sehari Temerloh mula beroperasi di Lurah Semantan sejak 1940an, namun difahamkan ia mula beroperasi kira-kira 40 tahun lebih awal di lokasi lain sebelum dipindahkan ke situ.

Wan Rosdy berkata pekan sehari itu bukan hanya popular dalam kalangan penduduk tempatan, tetapi juga kepada mereka dari luar Pahang yang berkunjung bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan termasuk ikan sungai, sayur dan ulam kampung, kuih tradisi dan buah-buahan.

“Saya difahamkan 5,000 hingga 7,000 pengunjung hadir ke pekan sehari ini,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan sistem tanpa tunai, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri menyasarkan 100 peratus pembayaran tanpa tunai pada masa depan, dengan bantuan dan kerjasama pihak terlibat khususnya institusi perbankan.

Mengambil contoh pelaksanaan cashless di Pekan Sehari Temerloh yang dilaksanakan dengan kerjasama Agrobank, Wan Rosdy berkata majoriti peniaga menerima konsep pembayaran itu, kerana lebih selamat, mudah dan dapat menunjukkan dengan tepat jumlah transaksi yang berlaku. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast