KUALA LUMPUR – APB Resources Berhad (APB) fabrikasi utama peralatan kejuruteraan reka bentuk, hari ini mengumumkan untuk mengambil alih 10.41 peratus saham Globetronics Technology Bhd bersamaan 70 juta saham dengan pertimbangan tunai RM140 juta.
Pelaburan strategik di dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan semikonduktor di dalam Globetronics, pemain utama dalam sektor EMS dan semikonduktor, berada pada kedudukan yang baik dalam pasaran elektrik dan elektronik (E&E) yang berkembang di Malaysia.
Setelah selesai cadangan pengambilalihan ini, APB akan muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam Globetronics.
APB juga bercadang untuk melantik wakil korporat ke lembaga pengarah Globetronics, mengukuhkan lagi komitmen dan perkongsian kumpulan.
APB menjangka untuk terlibat dalam perakaunan ekuiti untuk pelaburan ini sebagai syarikat bersekutu, berikutan semakan dengan juruaudit Kumpulan.
Lembaga Pengarah APB Resources Berhad berkata, pelaburan APB dalam Globetronics menandakan pengembangan strategik ke dalam industri pertumbuhan tinggi.
“Sebagai pemegang saham kedua terbesar, kami berharap dapat menyumbang dengan ketara kepada hala tuju masa depan dan kejayaan Globetronics. Pengambilalihan ini bukan sekadar pengembangan portfolio kami; ia adalah satu lonjakan ke arah potensi pendapatan yang dipertingkatkan pada masa depan dan kehadiran yang lebih kukuh dalam sektor teknologi,” katanya di sini hari ini.
Menurut laporan IMR, pasaran ini berada pada trajektori menaik, dengan unjuran menunjukkan bahawa eksport E&E akan mencecah RM629.10 bilion pada 2023 dan terus berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 7.9 peratus berpotensi mencecah RM867.83 bilion menjelang 2027.
Tinjauan pasaran yang positif ini mengukuhkan keputusan Kumpulan APB untuk melabur dalam Globetronics sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya.
Sehingga 18 Disember 2023, 12:30 tengahari, harga saham APB berada pada RM2.65, mewakili permodalan pasaran RM299.1 juta. – MalaysiaGazette