KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan memulakan inisiatif mempromosi syarikat-syarikat pembinaan dan berkaitan menerusi acara Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Indonesia yang dijadualkan pada 18-21 Dis, 2023.

Dalam kenyataannya hari ini, ia berkata delegasi Malaysia merangkumi wakil agensi itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Invest Selangor, 24 syarikat dan jabatan lain kerajaan pada tahun ini.

“Delegasi Malaysia akan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dalam bidang seperti pembinaan, seni bina, projek hartanah, perkhidmatan kejuruteraan, elektronik dan infrastruktur dengan misi itu secara strategik bertujuan untuk penciptaan, pembangunan, pelaksanaan dan kemampanan projek,” katanya.

Misi empat hari itu akan turut mengetengahkan beberapa siri program bersama Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Indonesia (PUPR), (Pihak Berkuasa) Otorita Ibu Kota Nusantara (OIKN), Dinas Penanaman Modal dan Pelayanan Terpadu Satu Pintu (DPMPTSP) Kalimantan Utara, Badan Pengusahaan Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam), Nusantara Global, Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI).

Menurut agensi itu, Matrade akan menganjurkan sesi pembentangan, perkongsian idea dan mesyuarat padanan perniagaan dengan rakan yang berpotensi untuk mempromosi dan meningkatkan lagi eksport pembinaan dan perkhidmatan berkaitan ke Indonesia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sharimahton Mat Saleh berkata, industri pembinaan Indonesia dijangka mencecah 333 trilion rupiah Indonesia pada 2023.

“Ini termasuk 47 peratus dalam sektor awam dan 53 peratus dalam sektor bangunan.

“Kerajaan Indonesia komited untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor prasarana. Matrade telah menganjurkan acara dan program khusus bagi meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan Malaysa ke Indonesia.

“Inisiatif yang sedang dilaksanakan ini menekankan lagi komitmen Matrade untuk membantu syarikat-syarikat Malaysia dalam merebut prospek perniagaan menerusi kerjasama atau usaha sama strategik.

“Sudah pasti usaha ini akan menumpukan peluang baharu muncul daripada ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan,” katanya.

Jumlah eksport perkhidmatan pembinaan Malaysia pada 2022 mencecah nilai RM6.1 bilion manakala import RM4.8 bilion berbanding keseluruhan eksport perkhidmatan sebanyak RM140.3 bilion.

Kekuatan sektor pembinaan Malaysia adalah bersandarkan keupayaan syarikat-syarikat terbabit melaksanakan projek, termasuk pembinaan bangunan, jalan raya dan lebuh raya, landasan kereta api, jambatan dan lapangan terbang.

Projek lain adalah loji rawatan air serta kuasa, fabrikasi struktur keluli dan projek pembangunan bercampur seperti perumahan, hotel, kediaman santai dan mewah selain penyelenggaraan bangunan. – BERNAMA