Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petronas Suriname E&P BV yang juga anak syarikat Petronas, telah memeterai kontrak perkongsian pengeluaran bagi Blok 63 dan 64 luar pesisir Suriname dengan Staatsolie Maatschappij Suriname NV yang juga syarikat minyak dan emas negara itu.

Dalam kenyataannya hari ini, kumpulan itu berkata, Petronas Suriname E&P berjaya memperoleh blok terletak di Lembangan Guyana-Suriname menerusi sesi Pusingan Bidaan Suriname Demerara 2022-2023, pada Jun lepas.

“Petronas Suriname E&P mempunyai 100 peratus kepentingan penyertaan dan merupakan  pengendali Blok 63.

“TotalEnergies akan mengendalikan Blok 64 dengan kepentingan penyertaan sebanyak 40 peratus manakala baki kepentingan dibahagi sama rata antara Petronas Suriname E&P dan QatarEnergy,” kata Petronas.

Blok 63 berkeluasan 5,425 kilometer persegi dan terletak kira-kira 200 kilometer di luar pesisir Suriname serta pada kedalaman kira-kira 1,700 meter.

Selain itu, Blok 64 yang bersaiz 6,262 kilometer persegi, terletak 250 kilometer dari pantai cetek dan kedalaman 1,300 meter.

Naib Presiden Cari Gali Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata kejayaan memperoleh blok-blok itu adalah penting, sejajar dengan usaha Petronas untuk memanfaatkan potensi sumber Suriname yang besar di lembangan berkenaan.

“Ini hanya menekankan lagi aspirasi untuk meningkatkan lagi kehadiran kami di negara itu selain mengukuhkan portfolio antarabangsa kami, khususnya di Amerika.

“Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan pihak terbabit di negara itu serta rakan sedia ada bagi mencapai lebih banyak kejayaan selain memastikan tenaga yang selamat, mampu milik dan lestari di pasaran,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast