Anggota Polis mengawal laluan yang sesak berikutan dua pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Wawasan, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2022.

PUCHONG – Kerja-kerja memasang cerucuk besi keluli di kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Taman Wawasan 3, Puchong bersambung hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, kerja-kerja itu bagi menstabilkan struktur tanah di kawasan perumahan terbabit.

“Dilaporkan 46 cerucuk besi telah ditanam, kerja-kerja akan disambung pagi ini.

“Pemantauan mendapati masih ada pergerakan tanah dikesan berlaku pada petang, semalam,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu beliau berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan sekeluarga semalam telah ditutup 9 malam tadi selepas semua ahli keluarga tersebut meninggalkan premis berkenaan.

“PPS menempatkan lapan orang daripada satu keluarga telah keluar, justeru PPS  ditutup.

“Keadaan di kawasan perumahan ini dipantau dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini.

Pergerakan tanah di kawasan itu dilaporkan masih berlaku pada jam 5.30 petang semalam.

Artikel berkaitan: Jangan kerumuni kawasan tanah runtuh – Anbalagan

Tanah runtuh di Puchong, penghuni tujuh rumah diarah pindah

Kereta pertama dibawa keluar dari runtuhan tanah

Pergerakan tanah masih aktif – Datuk Bandar

Kejadian itu menyebabkan laluan di hadapan pintu beberapa rumah runtuh.

Insiden tanaga runtuh di kawasan perumahan itu dikesan pada jam 7.26 petang Sabtu lalu, melibatkan sembilan kediaman.

Runtuhan tanah itu melibatkan kawasan seluas 50 meter (panjang), 60 meter (lebar) dan 3 meter (kedalaman).

Tiada kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.

Namun terdapat empat kenderaan terhumban ke dalam runtuhan itu, hanya sebuah kereta yang berjaya dibawa keluar semalam.

Susulan kejadian itu, semua penghuni di sembilan buah rumah terbabit diarah berpindah. MalaysiaGazette