Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika sesi sidang media pada kediaman keluarga Allahyarham Adik Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut dilanggar Pegawai Kanan Polis di Jalan Taman Jati, Meru, Jumaat lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 DISEMBER 2023.

IPOH – Tidak wujud layanan double standard ke atas Pegawai Kanan Polis yang dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini pagi tadi, kata Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Menurut beliau, layanan yang diberikan kepada tertuduh, Muhd Nazri Abdul Razak yang berpangkat deputi superintendan (DSP) itu sama seperti dengan pesalah yang lain.

“Seperti mana yang Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kata telus maka kita telah melaksanakan proses pendakwaan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kawalan yang dijalankan di mahkamah pagi tadi adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman di kawasan mahkamah jadi tidak ada istilah double standard,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir bersama Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim di kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Zamrie, di Taman Chepor Sentosa, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut Azizi berkata, kawalan yang dilakukan pasukan polis di mahkamah pagi tadi juga sama seperti layanan yang diterima pesalah lain di mana akan diiringi pihak polis daripada balai polis ke mahkamah.

“Prosedur itu prosedur biasa untuk kes-kes pesalah biasa dan ia bukan kes berprofil tinggi, cuma dia menarik perhatian jadi bila menarik perhatian kita akan mengawal keadaan,” katanya.

Azizi turut memaklumkan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) kedah itu kini ditempatkan di Penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan seterusnya.

Terdahulu media melaporkan rasa kecewa dengan tindakan polis yang mengawal ketat tertuduh sehingga menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas bagi melaporkan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu. -MalaysiaGazette