KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli merancang untuk memulakan proram bual bicara podcast ‘Yang Bakar Menteri (YBM)’ yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengannya.
Siaran podcast YBM akan bermula pada 8 Jan 2024 setiap dua minggu.
“Saya telah merancang untuk memulakan podcast YBM (rasminya bermakna Yang Berhormat Menteri, tetapi podcast ini bermakna Yang Bakar Menteri),” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini.
Ini kerana, katanya, kemunculan di televisyen menggunakan wang rakyat apabila melibatkan ‘air time’.
“Podcast YBM terbuka kepada sesiapa sahaja – ahli akademik, penyokong kerajaan, rakyat biasa dan terutamanya aktivis maya pembangkang.
“Saya akan cari mereka, jemput dan beri peluang bersemuka. Mereka berpeluang membakar saya, saya juga berpeluang membakar mereka,” katanya.
Menurut Rafizi, budaya begini lebih baik dari budaya maki hamun dan pertikai perkara picisan seperti yang dibawa aktivis maya pembangkang sekarang.- BERNAMA