Rafizi Ramli .-Foto MUHD NA’IM, 27 JUAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan tidak akan menunggang nama Melayu untuk merembat duit seperti yang berlaku dalam Jana Wibawa.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membidas ahli Parlimen pembangkang yang seolah-olah menampilkan diri membela Melayu apabila bercakap mengenai agenda ekonomi bumiputera.

“Saya perhatikan ahli Parlimen pembangkang (terutamanya dari Bersatu) sering bertanya mengenai agenda ekonomi bumiputera yang dibawa Kerajaan Perpaduan.

“Saya faham lenggok pertanyaan mereka, konon untuk menunjukkan mereka membela Melayu.

“Ikut hati, saya ingin jawab mudah sahaja: Insya-Allah kami tidak akan menunggang nama Melayu untuk beberapa kerat rembat duit Jana Wibawa yang akhirnya diAliBabakan kepada syarikat bukan Melayu,” kata Rafizi.

Sementara itu Rafizi berkata, sebagai menteri, fokus beliau adalah untuk meningkatkan sumbangan ekonomi Bumiputera.

Ini kerana jumlah perusahaan bumiputera adalah besar tetapi sumbangan terhadap ekonomi secara relatif masih ada jurang.

Katanya,daripada sejuta entiti perniagaan 80 peratus adalah perniagaan mikro dan majoriti pemiliknya adalah peniaga Bumiputera.

Manakala hanya 3 peratus syarikat besar, dua peratus bersaiz sederhana dan 15 peratus syarikat kecil.

Justeru katanya, usaha menskalakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana supaya naik ke takuk lebih atas dan usaha memperkasakan perniagaan bumiputera perlu digerakkan seiring.

Kerajaan akan menggunakan pendekatan baharu dalam merangka dasar bagi memperkasa ekonomi bumiputera yang berdaya saing dan boleh berdiri sendiri.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan program ekonomi Bumiputera secara berhati-hati untuk mengelakkan pergantungan kepada bantuan yang boleh mengikis daya saing.

Beliau sekali lagi mengingatkan perniagaan bumiputera yang mendapat bantuan agensi kerajaan perlu memberi fokus kepada 3P iaitu product, problem, people (produk, masalah dan manusia).

“Sementara agensi kerajaan terus membangunkan program untuk membantu ekosistem perniagaan bumiputera, pengusaha bumiputera pula mestilah membangunkan perniagaan berasaskan 3P yang saya sebut. Barulah kita boleh mengelakkan tragedi Jana Wibawa berulang kembali,” kata beliau.

Tambah Rafizi, hanya perniagaan yang membangunkan produk atau perkhidmatan yang menyelesaikan dan memenuhi kehendak pelanggan yang akan berdaya tahan dan ada kemampuan untuk diskalakan.

Beliau juga berkata, hanya perniagaan yang mempunyai bakat yang berkemahiran mampu membangunkan produk yang memenuhi tuntutan pelanggan.-MalaysiaGazette