Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengenai kelewatan kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau mengingatkan bahawa penubuhan RCI tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 11 Januari lalu.

“Hampir setahun belum tubuh juga? Tidakkah ini menangguh keadilan? Ia mencacatkan reformasi institusi? Mencari kebenaran terhalang.

“Dua kali saya tanya isu ini. Mei 2023 dan September 2023,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

RCI tersebut bertujuan menyiasat dakwaan Tommy dalam bukunya yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang antaranya menyentuh tentang pelantikan hakim-hakim kanan ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketujuh.

Pada 10 September lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, kerajaan akan mempersembahkan senarai nama Jawatankuasa Pasukan Khas RCI berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan baginda.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, segala butiran senarai nama lengkap itu akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi tujuan itu.

Mohd Puad memberitahu, saman yang difailkan Tommy terhadap kerajaan dan semua ahli pasukan petugas khas yang menyiasat bukunya dikhuatiri boleh memberi persepsi seolah-olah beliau di pihak yang benar.

Sedangkan, beliau berkata, laporan pasukan petugas khas yang dinyah sulit, mengesyorkan Tommy disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kerajaan perlu umum apakah RCI Tommy Thomas diteruskan? Atau ada alternatif lain seperti tubuh tribunal. Ia melibatkan pelantikan ketua hakim,” jelasnya. – MalaysiaGazette