Allaudeen meninjau tangkapan 1,101 PATI yang gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri selepas dicekup kawasan mini Dhaka di Jalan Silang menerusi operasi khas JKDNKA pada Khamis. Gambar Fail MG

KUALA LUMPUR – Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara ditahan dalam satu serbuan besar-besaran di ‘Mini Dhaka’ sekitar ibu negara hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua mereka diberkas dalam operasi bersepadu khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bermula pagi tadi.

Katanya, kira-kira pukul 11 pagi, bertindak atas maklumat seramai 1,138 pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur dan Unit Pengesan Anjing K9 telah menyerbu di kawasan sekitar Jalan Silang di sini yang kini dikenali Jalan Tun Tan Siew Sin.

Operasi yang diketuai oleh Timbalan Pengarah JKDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi (PGA) sehingga 3 petang tadi itu bertujuan membanteras pelbagai aktiviti serta kegiatan jenayah yang berlaku membabitkan PATI.

Polis bertindak atas maklumat yang diperolehi sekitar Kompleks Kota Raya selain memfokuskan pembanterasan aktiviti tidak sihat di kawasan yang sama.

“Pasukan PGA berjaya mengepung kawasan itu sebelum hasil pemeriksaan lanjut di 60 premis di kawasan sekitar Kompleks Kota Raya berjaya menahan seramai 1,101 PATI.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Allaudeen melihat rampasan kontraban dalam serbuan warga asing di mini dhaka kawasan Kota Raya di ibu negara hari ini.

Operasi yang sama turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, DBKL dan Kementerian Kesihatan.

Tambah beliau, semasa penahanan PATI berkenaan, tiada sebarang insiden cubaan melarikan diri dan mendapat kerjasama baik daripada mereka sebelum ditahan tanpa sebarang pergelutan dan kecederaan.

Menurutnya, kesemua PATI telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

“Dalam operasi serbuan sama, kita juga berjaya membuat rampasan barang kontraban yang terdiri daripada arak dan rokok bernilai RM70,000 dan jualan ubat-ubatan kesihatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan bernilai RM34,530.

“Siasatan mendapati kesemua ubat-ubatan dijual disebuah premis kesihatan yang dipercayai dibawa masuk dari negara seperti Bangladesh dan sebagainya untuk kegunaan PATI yang terlibat dalam pelbagai jenis pekerjaan serta menghuni kawasan Kota Raya di Jalan Silang,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, operasi seumpama akan diteruskan dari semasa ke semasa ke kawasan lain yang didominasi PATI di ibu negara.

Pihaknya turut menyerahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas premis yang menyewakan bangunan kepada PATI jika wujud perlanggaran dari segi undang-undang.

Terdahulu, kawasan Kompleks Kota Raya di Jalan Silang dikejutkan dengan operasi gempur pasukan bersenjata dari PGA lebih 1,138 pegawai dan anggota yang mengepung kawasan dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’ di pusat ibu kota itu yang didominasi warga asing. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Mini Dhaka’ Jalan Silang diserbu polis PGA