KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf kepada peminat yang gagal untuk membeli tiket menyaksikan konsertnya Mac depan.
Dalam satu kenyataan ringkas di media sosial, penyanyi tersohor itu yang gembira kerana kesemua tiket habis bagaimanapun sedih terhadap mereka yang gagal untuk membelinya.
Tiket ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ habis dijual dalam tempoh dua jam selepas ia dibuka untuk pembelian secara dalam talian hari ini.
Bagaimanapun Siti Nurhaliza memberi sedikit harapan kepada peminat yang gagal membeli tiket bahawa beliau mungkin akan mengadakan konsert lain pada masa depan.
“Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam. Maafkan saya kepada yang tak dapat membelinya. Saya minta maaf sedalam-dalamnya juga.
“Saya memahami ada yang mencuba dan tidak sempat mendapatkannya. Ada rezeki di persembahan yang lain nanti. Doakan saya,” kata Siti Nurhaliza.
Pada ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ yang dipentaskan pada 9 Mac di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini – beliau bakal mendendangkan lebih 20 lagu.
Sebelum ini media melaporkan Konsert Coldplay: Music of The Spheres World Tour berjaya membenamkan rekod yang dipegang Siti Nurhaliza menerusi konsert Fantasia Tour pada 2004.
Sejarah konsert yang bertahan selama 19 tahun itu dihadiri 70,000 peminat walau ketika itu difahamkan penyanyi nombor satu negara berdepan pelbagai kontroversi.
Manakala konsert A.R Rahman dan Blackpink yang juga berlangsung dalam tahun ini menduduki tempat ketiga dan keempat dengan 67,000 serta 62,000 pengunjung.
Siti Nurhaliza dalam temuramah baru-baru ini berkata, tiada isu mengenai lokasi konsert beliau yang juga merupakan lokasi konsert Coldplay kerana pemilihan telah dibuat lebih awal.
“Pada saya, soal lokasi berkaitan konsert hanya dibangkitkan oleh orang luar saja yang kononnya berasa ia patut diadakan di tempat yang lebih luas dan cuba membandingkan dengan konsert sebelum ini (konsert Coldplay).
“Apa pun, daripada pihak saya sendiri memang kami sudah merencanakan konsert ini (Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza) bakal berlangsung di Axiata Arena dan keputusan muktamad pun dibuat sejak beberapa bulan lalu.
“Jadi, tiada apa-apa isu pun dan tiket pula akan dijual bermula esok,” katanya kepada media dengan memaklumkan perincian lanjut akan dikongsi pada satu sidang media khas nanti.-MalaysiaGazette