Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit kekal mencatatkan aliran tinggi apabila meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa sesi awal dagangan pada Jumaat, berikutan data ekonomi AS yang lemah, kata pakar ekonomi.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6300/6380 berbanding dolar AS daripada 4.6525/6565 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, anggaran terakhir bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2023 AS sebenar adalah pada 4.9 peratus, lebih rendah berbanding tinjauan konsensus pada 5.2 peratus.

Beliau berkata susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.62 peratus kepada 101.775 mata.

Pandangan peserta pasaran bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan memulakan penurunan kadar faedah tahun depan masih mempunyai beberapa asas, katanya.

“Justeru, ringgit bersedia untuk meningkat dan mungkin bergerak ke arah paras sokongan serta-merta  RM4.5778 dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8750/8852 daripada 5.8766/8816 ketika ditutup pada Khamis namun, turun berbanding euro kepada 5.0949/1037 daripada 5.0922/0965.

Unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 3.2553/2614 daripada 3.2519/2549 semalam.

Walau bagaimanapun, ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang negara Asean.

Ringgit lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.4904/4967 daripada 3.4973/5006 ketika ditutup semalam namun, rendah berbanding baht Thailand kepada 13.3607/3903 daripada 13.3443/3631.

Mata wang domestik naik berbanding rupiah Indonesia kepada 298.1/298.8 daripada 299.6/300.0 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.39 daripada 8.37/8.38. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast