bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meningkat semula minggu depan, didorong oleh sokongan yang berterusan daripada dana asing dan situasi ekonomi yang semakin baik.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata, dari perspektif teknikal, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) gagal melepasi paras rintangan kritikal 1,465 biarpun selepas beberapa kali cubaan, diikuti dengan penurunan selama empat hari berturut-turut dan melepasi paras di bawah purata bergerak eksponen (EMA) 20 hari pada Jumaat.

“Bagaimanapun, memandangkan indeks itu telah berjaya bertahan melebihi EMA 50 hari, potensi kepada pergerakan meningkat turut bertambah. Sehubungan itu, kami yakin indeks petunjuk pasaran masih dalam sentimen pengukuhan dengan kecenderungan positif.

“Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam jajaran 1,450-1,470 minggu depan, dengan paras sokongan segera pada 1,450, diikuti dengan 1,440,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah berikutan pelabur menunggu beberapa data ekonomi dari Amerika Syarikat (AS) untuk mengukuhkan panduan mereka terhadap kadar dan laporan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 7.87 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,454.38 berbanding 1,462.25 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menokok 46.82 mata kepada 11,016.57, Indeks FBM 70 melonjak 142.72 mata kepada 14,616.84, Indeks FBM ACE naik 35.53 mata kepada 5,216.20, manakala Indeks FBM Emas susut 15.96 mata kepada 10,819.92 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 17.34 mata kepada 10,484.93.

​Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 2.31 mata kepada 818.6, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.29 mata kepada 172.76, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 189.87 mata kepada 16,247.09 dan Indeks Perladangan turun 10.12 mata kepada 7,036.45.

Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan perolehan yang lebih rendah sebanyak 18.39 bilion unit bernilai RM12.04 bilion berbanding 18.88 bilion unit bernilai RM13.44 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 10.75 bilion saham bernilai RM10.40 bilion berbanding 11.68 bilion saham bernilai RM11.87 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 3.04 bilion unit bernilai RM356.87 juta daripada 4.02 bilion unit bernilai RM527.82 juta minggu lepas.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.44 bilion saham bernilai RM1.28 bilion daripada 3.16 bilion saham bernilai RM1.03 bilion sebelum ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast