Suasana serbuan oleh PGA PDRM ketika menggempur, mengepung dan mencekup lebih 1,000 PATI di 'Mini Dhaka' dekat Jalan Silang pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR – Pemilik premis perniagaan warga tempatan di ibu negara hari ini diberi peringatan untuk tidak menyewa lesen atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata, peringatan ini diberikan bagi mengelakkan mereka berdepan risiko penarikan atau penggantungan lesen perniagaan masing-masing tanpa kompromi.

“Jabatan Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dengan mana mana premis perniagaan milik warga tempatan yang bertindak menyewakan lesen dan menggaji PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sudah diarah melaksanakan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis-premis perniagaan di sekitar ibu negara.

Langkah ini diambil segera bagi memastikan isu seperti penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen yang sah dan pengambilan pekerja dalam
kalangan PATI dapat dibanteras sebaik-baiknya selepas ini

Dalam kenyataan sama, Dr Zaliha turut merakam penghargaan dan mengambil maklum tentang tindakan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia yang menyerbu dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Silang, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Dalam serbuan tersebut, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu.

Operasi yang memeriksa 60 buah premis itu melibatkan 1,138 anggota pegawai dari Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Lumpur, Unit Anjing Pengesan (K9), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut terlibat dalam operasi berkenaan. – MalaysiaGazette