Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawi mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung minggu depan, dengan harga dijangka bergerak antara RM3,400 dan RM3,500 satu tan.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata, pasaran dijangka lebih tenang pada minggu akan datang memandangkan banyak peniaga tempatan dan antarabangsa akan mengambil cuti panjang bersempena dengan Krismas dan cuti hujung tahun.

“Saya tidak meramalkan banyak yang didagangkan minggu depan, manakala stok di Malaysia dijangka kekal tinggi pada sekitar 2.4 juta tan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan jangkaan output yang lemah pada minggu-minggu akan datang.

Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2024 meningkat RM23 kepada RM3,677 satu tan, Februari 2024 menokok RM27 kepada RM3,719 satu tan dan Mac 2024 menambah RM27 kepada RM3,738 satu tan.

Sementara itu, April 2024 menokok RM23 kepada RM3,735 satu tan, Mei 2024 naik RM14 kepada RM3,713 satu tan dan Jun 2024 meningkat RM4 kepada RM3,681 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 239,804 lot daripada 262,151 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 217,514 kontrak daripada 215,935 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan meraih RM70 kepada RM3,720 satu tan pada Jumaat daripada RM3,650 satu tan pada minggu sebelumnya.

Pasaran akan ditutup pada 25 Disember bersempena dengan cuti Krismas dan menyambung semula dagangan pada hari berikutnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast