Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui penyedia perkhidmatan guna samanya, TNB Global Business Solutions (TGBS), menempa kejayaan penting di Shared Services & Outsourcing Network (SSON) Impact Awards 2023 di Singapura baru-baru ini.

Ia merangkul Anugerah Emas bagi Best Shared Services Team di rantau Asia kali kedua berturut-turut selepas memperoleh pengiktirafan sama pada 2022.

TGBS turut dinobatkan antara Top 20 Most Admired Shared Services Organisations (SSO) & Global Business Services (GBS) peringkat global untuk dua tahun berturut-turut.

Selain anugerah ini, TGBS telah diberi penghormatan dengan Anugerah Gangsa Change Management Impact Award and the Customer Centricity Impact menandakan komitmen TNB terhadap kecemerlangan dalam pengurusan perubahan dan amalan mengutamakan pelanggan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din melahirkan rasa terima kasih di atas pengiktirafan tersebut dengan menyatakan anugerah itu mengesahkan komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi terhadap perkhidmatan melampaui kebiasaan, pengurusan perubahan dan mengutamakan pelanggan.

“Ini menandakan usaha kolektif dan dedikasi kakitangan TNB dalam mencapai kecemerlangan, menyokong visi kami untuk menjadi penyedia solusi tenaga mampan terkemuka di dalam negara dan antarabangsa, selaras dengan aspirasi Sifar Bersih 2050,” katanya dalam satu kenyataan.

Baharin menekankan bagaimana anugerah ini mengukuhkan komitmen TNB terhadap pembangunan mampan dan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Beliau melahirkan keyakinan bahawa pencapaian ini akan memberi inspirasi kepada TGBS untuk terus meningkatkan penawaran perkhidmatannya, memupuk perkongsian luaran dan kecekapan dalaman.

SSON Impact Awards adalah anugerah tahunan industri peringkat global yang memberi penghormatan dan meraikan SSO serta perkhidmatan perniagaan yang cemerlang inisiatifnya melebihi piawaian industri.

Pemenang dinilai oleh pengamal terkemuka yang terkenal dengan kepakaran merentasi pelbagai industri dan penyumbang utama serta ahli komuniti perkhidmatan perniagaan.

Antara penerima SSON Impact Awards Asia yang terkemuka tahun ini ialah Unilever, Vital,GBS, Coca-Cola BBS, PepsiCo GBS, PT Pertamina Persero, Walmart China Investment Co dan Maersk Global SSC. – MalaysiaGazette