Mohd Sidek dibawa keluar daripada kamar mahkamah selepas membuat pengakuan tidak bersalah di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang didakwa mencederakan penumpang warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuantan di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Sidek Saleh, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani dan memohon dibicarakan

Mohd Sidek berbaju kemeja kelabu gelap dan berjaket hitam kelihatan tenang dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut fakta pertuduhan, Mohd Sidek didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita  warga China di sebuah lobi hotel di sini pukul 6.20 petang pada 16 Disember lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyerang mangsa di jari tangan kanan dengan menggunakan kerusi lipat – suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata yang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Ketika prosiding berjalan, Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usari memohon mahkamah  tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh ekoran jenayah yang dilakukan dikategorikan sebagai kesalahan serius.

Bagaimanapun pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM15,000 serta syarat tambahan dikenakan sekiranya jaminan dibenarkan oleh mahkamah.

Manakala tertuduh diwakili peguambela, Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon budi bicara mahkamah untuk membernarkan anak guamnya diikat jamin setelah memberikan lapan hujahan dalam pembelaan.

Antaranya tertuduh yang merupakan OKU selepas terbabit dalam kemalangan pada tahun 2016 itu tiada rekod jenayah lampau selain didakwa melakukan kesalahan kali pertama.

Mahkamah kemudiannya memutuskan Mohd Sidek dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin selain dikenakan syarat khas.

Syaratnya beliau tidak dibenarkan mengacau mangsa dan saksi selain perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan setiap bulan bermula Januari 2024.

Hakim memutuskan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 5 Februari 2024.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast