Steven Sim (tengah) ziarah keluarga mangsa maut tersepit lif di Taman Sri Pinang, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengingatkan golongan majikan khususnya dalam sektor berisiko agar sentiasa memastikan dan meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja bagi memastikan pekerja bertugas dalam suasana yang selamat.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, majikan perlu mengambil kira pelbagai risiko bagi mengelakkan perkara tidak diingini menimpa pekerja.

Jelas beliau, langkah tersebut secara langsung dapat mengelak majikan daripada dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati berlaku kecuaian.

Steven Sim.

“Saya nak bagi peringatan kepada semua majikan, bahawa tanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya-bahaya di tempat kerja, mengawal risiko dan juga menjamin keselamatan pekerja adalah tanggungjawab mereka.

“Kita harus memastikan tempat kerja selamat bukan sahaja untuk orang awam tapi ia juga selamat untuk pekerja,” katanya hari ini.

Terdahulu Steven Sim yang mengadakan ziarah prihatin ke atas keluarga R. Tinesh Kumar yang meninggal dunia selepas kepalanya tersepit di pintu lif ketika melakukan kerja penyelenggaraan sebuah kompleks membeli belah di Jalan Burma, di sini, pada Selasa lalu.

Steven Sim turut menyampaikan faedah pengurusan mayat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada ibu bapa mangsa iaitu, R. Saraswathi dan bapanya K. Ramachandran selain memaklumkan merkea menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) seumur hidup susulan mangsa itu masih bujang.

Pada majlis sama, Steven memaklumkan balu kepada Nur Ahmad Yusoff Muei, 22, yang maut akibat terjatuh dari ketinggian 24 meter ketika melakukan kerja pembersihan di sebuah kilang kitar semula di Banting, Selangor layak menerima FOT.

“Bayaran berkala FOT ini akan diberikan kepada isteri arwah untuk sepanjang hayatnya manakala bayi dalam kandungan pula layak menerima manfaat sama selepas dilahirkan dan sehingga mencapai usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.

Mengulas lanjut Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam memaklumkan laporan penuh dua kes kemalangan di tempat kerja itu dijangka siap dua minggu lagi.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) telah bertindak serta-merta termasuk memberikan notis kepada majikan.

“Bagaimanapun, laporan penuh kita memerlukan sedikit masa lagi kerana ia memerlukan laporan selain aspek perbincangan melibatkan polis, pihak hospital dan sebagainya.

“Jadi, saya jangka laporan penuh akan dapat disiapkan dalam masa seminggu atau dua lagi,” katanya. – MalaysiaGazette